KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Perdana Menteri berkata rakyat
Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, agama, budaya dan
bahasa bukan sahaja wajar berbangga dengan kestabilan, kemajuan
serta keharmonian hidup yang dinikmati tetapi juga perlu
menghargainya.
"Janganlah dianggap kestabilan dan kemajuan negara ini sebagai perkara biasa yang akan berterusan selama-lamanya tanpa apa-apa usaha," katanya dalam ucapan beliau sempena tahun baru 2002 yang disiarkan melalui radio dan televisyen ke seluruh negara. Sambil bersyukur kerana Malaysia walaupun masih lemah tetapi tidak dihina dan dipermainkan oleh sesiapa, Dr Mahathir berkata: "Kita tidak mungkin mengalahkan mereka tetapi jika kita bijak, jika kita dapat dirikan negara yang berkebolehan tertentu, jika kita tahu sejauh mana kita boleh pergi, kita akan dapat memelihara dan mengekalkan kebebasan kita, maruah kita." Mengimbas kembali pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lepas, beliau berkata peristiwa serangan 11 Sept ke atas Amerika Syarikat telah memberi kesan mendalam kepada seluruh dunia, malah keadaan dunia juga tidak akan sama seperti sebelumnya akibat peristiwa itu. Perdana Menteri berkata serangan itu bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi bahkan psikologi manusia sehingga mereka takut untuk naik kapal terbang, menyebabkan industri penerbangan, perhotelan, pelancongan malah dagangan serta industri pembuatan, terjejas dan dunia mengalami kemerosotan yang teruk. Malaysia menyertai negara-negara lain di dunia mengutuk keganasan itu serta keganasan lain yang berlaku kerana keganasan bukanlah cara menyelesaikan masalah, katanya. Dr Mahathir berkata Malaysia juga menentang serangan terhadap Afghanistan kerana khuatir mereka yang tidak bersalah dan berdosa menjadi mangsa serta berharap keamanan dan kestabilan akan kembali kepada Afghanistan secepat mungkin. Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia juga menentang sebarang tindakan ala serangan Afghanistan terhadap negara Islam lain dan sebaliknya serangan terhadap rakyat Palestin oleh Israel perlu dihentikan. "Kita tidak melihat ini sebagai pertembungan tamadun. Orang Islam dan bukan Islam di Malaysia tidak melihat peristiwa yang berlaku sebagai pertelingkahan antara agama Islam dan Kristian," katanya. Dr Mahathir berkata serangan 11 Sept itu, bagaimanapun, mempunyai hikmah kepada Malaysia kerana ia kini diakui oleh banyak negara sebagai sebuah negara Islam yang berpegang teguh kepada kesederhanaan ajaran Islam yang sebenar. Perdana Menteri berkata keadaan di Malaysia ini adalah bukti yang negara Islam boleh diadakan dengan hak orang bukan Islam dipelihara dengan cukup baik dan kehidupan antara penganut agama yang berlainan berada dalam keadaan harmoni. Selepas mencapai kemerdekaan, Dr Mahathir berkata kerajaan terus menumpukan usaha meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran dengan tidak kurang daripada 20 peratus belanjawan negara diperuntukan kepada bidang pendidikan, penguasaan ilmu serta pelbagai jenis latihan kemahiran. "Kita amat kecewa kerana usaha mengimbangi penguasaan ilmu antara kaum tidak tercapai seperti yang dirancang oleh Dasar Ekonomi Baru," katanya. Dengan keutamaan diberikan kepada kaum Bumiputera yang jauh ketinggalan dalam pelajaran dan kemahiran, Perdana Menteri berkata sambutan kepada usaha itu pada mulanya amat baik tetapi ada pihak yang berkepentingan politik menghasut pelajar Bumiputera supaya tidak tekun belajar dan tidak berminat ke universiti. "Tujuan penghasut ini ialah supaya orang Islam akan dapat dikuasai oleh mereka. Mereka takut jika orang Islam menjadi pandai dan boleh berfikir maka mereka akan menyoal kepimpinan puak ini dan menolak mereka," katanya. Seperti juga dengan penjajah dahulu, pihak penghasut itu tidak suka melihat orang Islam berpengetahuan dan berfikir kerana adalah memadai dengan menerima bulat-bulat ajaran Islam yang sempit dan menolak ilmu-ilmu lain. Dr Mahathir berkata Islam sebenar menyuruh umatnya mempelajari bukan sahaja agama tetapi juga bidang-bidang lain seperti pertanian, pengeluaran barangan kegunaan hidup, senjata untuk mempertahankan ummah, ilmu pelayaran dan pengangkutan, ilmu pergerakan bintang di langit sebagai panduan perjalanan di padang pasir dan laut serta seribu satu ilmu lain yang penting untuk kehidupan dan kesejahteraan umatnya. Perdana Menteri berkata di Malaysia kini, keengganan penuntut Melayu mempelajari ilmu-ilmu selain ajaran Islam adalah kerana mereka percaya ilmu lain tidak akan menjadikan mereka orang Islam yang baik. Oleh kerana itu, beliau berkata satu keganjilan berlaku dalam masyarakat hari ini jumlah penuntut lelaki di universiti-universiti hanya separuh daripada penuntut wanita. "Apakah ini disebabkan penuntut lelaki tidak cerdik daripada penuntut wanita? Ini sudah tentu tidak. Sebabnya kelulusan penuntut lelaki rendah ialah kerana mereka tidak tekun belajar," katanya. Dr Mahathir berkata segala kemudahan yang diberi kepada Bumiputera khususnya kaum Melayu menjadi sia-sia. "Untuk memelihara kebebasan negara kita, rakyat yang berpengetahuan adalah mustahak. Jika orang Melayu tidak mahu mengejar ilmu, negara terpaksa bergantung kepada bukan Melayu. Janganlah orang Melayu marah atau kecewa jika tugas-tugas yang penting dalam negara dipegang orang bukan Melayu, jika kekayaan dan kesejahteraan hidup dinikmati orang bukan Melayu, katanya. Perdana Menteri berkata yang bersalah sekiranya orang Melayu menjadi kaum yang mundur di negara ini ialah orang Melayu sendiri. Yang amat menyedihkan lagi ialah 99 peratus daripada orang Islam di Malaysia adalah orang Melayu dan ini bermakna kemunduran orang Melayu adalah kemunduran orang Islam. Semua ini adalah hasil pengkhianatan sebilangan orang Islam yang menggunakan pengaruh mereka sebagai orang yang berpelajaran agama untuk memperbodohkan orang Islam supaya mereka terus berpengaruh dan berkuasa, katanya. "Di mana-mana sahaja wujud orang jenis ini yang menyebabkan orang Islam menjadi lemah, negara Islam menjadi lemah dan umat Islam dihina, ditindas dan diseksa. Perdana Menteri berkata kelemahan dan kurang jayanya Bumiputera adalah disebabkan nilai hidup mereka yang tidak menepati ajaran Islam. Mengimbas kembali kejayaan Malaysia menjuarai Sukan SEA Kuala Lumpur, beliau berkata ia adalah hasil sokongan kuat dan padu rakyat berbilang kaum membanjiri stadium memberi dorongan dan semangat kepada para atlit. "Inilah keunikan negara kita. Di waktu kita mencapai kemerdekaan, dunia tidak yakin sama sekali kita akan dapat elak ketegangan hubungan antara kaum, jauh sekali membangunkan negara kita," katanya. Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia pada tahun lepas turut mengalami saat sedih dan duka atas kemangkatan Yang di-Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 Nov. "Pemergian almarhum yang dikasihi dan yang sentiasa mengambil berat tentang hidup rakyat dan kemajuan negara sungguh dirasai rakyat jelata," katanya sambil mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 serta Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Dr Mahathir mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia dan berdoa agar tahun 2002 akan membawa lebih nikmat dan kebahagian kepada semua. |